Dinding Batu

Bas yang dinaiki Asma terus menyusur jalan, berhenti di hentian-hentian. Penumpang naik, penumpang turun. Hari itu, hari yang cerah. Cahaya matahari terus-terusan memancarkan sinarnya. Asma duduk termenung memerhati apa yang diluar jendela. Kereta satu-persatu melepasi bas, manusia pelbagai ragam, rumput yang beku dek sejuk musim salju.

Bas bergerak dari satu jalan ke jalan yang lain. Bas itu terus setia mengikut jalannya. Dan seperti biasanya, bas itu melintasi apa yang orang perancis panggil 'Hotel de Police' (terjemah perkata; hotel polis), yang sebenarnya penjara. Selalu Asma terfikir, kenapa ia dipanggil hotel?

Hari itu, walaupun langit cerah, sejuk masih mampu menggigit tulang. Asma melontar pandang menelusuri dinding penjara dengan sepasang matanya. Bas pun melintasi pintu penjara. Tampak seorang ibu tua mengeluarkan sehelai pakaian musim sejuk lalu dipakaikan pada anaknya.

Muka si ibu tua tergambar riak rindu, muka si anak tergambar rasa pilu. Mungkin pilu kerana memikirkan ibu tua yang sanggup menunggu saat dia dibebaskan. menunggu dalam sejuk di luar penjara, kerana risau anaknya sejuk.

Mungkin ini yang mereka kata kasih ibu membawa ke syurga. Biar anak jahat mana, kasih ibu itu sentiasa bersama.

Separa sedar, Asma menghapus air mata. Senyum tercarik di hujung bibir.

Penjara itu mungkin permulaan buku baru dalam kehidupan si anak. Sekurang-kurangnya, dia masih punya peluang. Masih punya sayang orang. Yang perlu cuma terus usaha untuk menjadi 'orang'.

+ + + + +

"I think we all wish we could erase some dark times in our lives. But all of life's experiences, bad and good, make you who you are. Erasing any of life's experiences would be a great mistake." - Luis Miguel

nurfarahhazwani
14/12/2016 0125
Muawiyyah
"And after all, you're my wonderwall"
 

Comments

Popular Posts